fbpx
Tangkap layar rakaman papan muka (dashcam) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Penunggang motosikal ‘naik minyak’ rosakkan kereta di tol Lekas ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Tindakan seorang penunggang motosikal melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) menghala ke selatan, akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu dikesan selepas satu video berdurasi satu minit 26 saat tular di media sosial pada hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Susulan kejadian itu, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang merupakan pemandu e-hailing dan memandu kereta jenis Proton Saga ketika kejadian.

“Akibat kejadian tersebut, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang bekerja di sektor swasta di sekitar Kajang bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa serta mematuhi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN