SHAH ALAM – Taktik licik empat sindiket termasuk menjadikan Malaysia sebagai hab mencuci wang haram dengan menggunakan premis kediaman mewah seperti banglo dan kondominium sebagai ‘dapur’ penggubahan wang berjaya dibongkar pihak berkuasa.
Serbuan antara 14 hingga 24 April lalu di sekitar Ampang, Subang dan Petaling Jaya berjaya menahan 31 suspek termasuk 21 warga asing berusia 18 hingga 41 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati dua daripada sindiket berkenaan aktif menjalankan aktiviti penggubahan wang haram hasil penipuan dengan beroperasi di kediaman mewah yang disewa khas sebagai pusat operasi.
Menurut beliau, kedua-dua sindiket itu dikesan telah beroperasi sejak Disember tahun lalu dan Januari tahun ini sebelum berjaya dihidu pihak berkuasa hasil risikan berterusan.
“Hasil siasatan mendapati salah satu sindiket yang dianggotai sembilan warga asing bertindak sebagai operator menguruskan penerimaan wang dari Filipina, Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan India.
“Kesemua urusan penerimaan wang itu dilakukan menerusi platform telegram dan kemudiannya wang tersebut ditukarkan dalam bentuk mata wang kripto (USDT) dan dikembalikan kepada pemilik asal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Kata beliau, satu lagi sindiket pula melibatkan lapan warga tempatan berperanan sebagai pengurus akaun bagi menguruskan transaksi pindahan wang dari akaun bank lapisan pertama hingga lapisan keempat dengan melibatkan sembilan akaun tempatan.
Kesemua lapan suspek itu telah didakwa dan dikenakan denda RM5,000 seorang mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 120 Kanun Keseksaan pada 24 April lalu.
“Kita tidak dapat nafikan (Malaysia dijadikan hub cuci wang haram). Namun ia bukan keutamaan, sebaliknya sebahagian daripada modus operandi sindiket,” jelasnya.
Shazeli menambah, dua lagi sindiket masing-masing dikesan terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian dan pelaburan tidak wujud sejak awal tahun ini, dengan menjadikan mangsa termasuk warga China melalui laman sesawang, Telegram dan Tencent.
“Menerusi kesemua operasi itu kita berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket bernilai keseluruhan RM160,000.
“Seramai 23 lagi suspek masih direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE














