fbpx
DZULKHAIRI menunjukkan sebahagian peralatan dirampas yang dipercayai digunakan ahli sindiket pada sidang akhbar di IPK Melaka, hari ini.-Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

Scammer dicekup beramai-ramai di rumah mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seramai 48 warga asing dicekup beramai-ramai di dua rumah mewah di Taman Kota Bendahari di sini, yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian membabitkan tawaran khidmat seks, love scam dan pelaburan tidak wujud.

Serbuan itu dilakukan serentak pada pukul 11 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Melaka Tengah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 23 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di taman berkenaan membawa kepada penahanan 21 individu membabitkan 20 warga China dan seorang wanita warga Indonesia.

“Semakan pakar analisa media sosial mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan tawaran khidmat seks tidak wujud yang menyasarkan warga China.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan selain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua di lokasi berhampiran pula membawa kepada penahanan 27 lagi suspek terdiri daripada 23 warga Vietnam dan seorang warga China.

“Sindiket kedua menjalankan penipuan love scam dan pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi sebelum mangsa dipujuk melabur dalam skim mata wang kripto palsu.

“Operator sindiket menerima gaji antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala penyelia dibayar sehingga RM6,000 selain komisen RM500 hingga RM2,000 bagi setiap mangsa yang berjaya diperdaya,” ujarnya.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 44 tahun dengan kedua-dua sindiket dipercayai beroperasi sejak Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN