SEREMBAN – Kastam Negeri Sembilan mendedahkan sindiket rokok dan arak seludup menjual pada harga murah secara tersembunyi kepada pelanggan tetap sebagai modus operandi untuk mereka terus mendapat untung besar.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, modus operandi itu dikesan selepas pihaknya melakukan operasi dan soal siasat ke atas beberapa suspek yang ditahan dari Januari hingga Mac lalu.
Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya merampas barangan seludup bernilai RM2.1 juta termasuk duti dan cukai.
“Kita memeriksa 38 outlet di seluruh negeri sebelum 28 daripadanya didapati menjual barangan larangan import itu.
“Rampasan membabitkan 96,879 paket rokok bersamaan 1,752,353 batang serta 26,375 tin dan botol minuman keras berjumlah 12,331.34 liter. Kesemuanya bernilai RM2,134,359,” katanya.
Menurut Muhammad Ilyas, seramai 26 individu tempatan sedang disoal siasat manakala dua warga asing sudah dituduh di mahkamah. – KOSMO! ONLINE














