KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Dasar 90:10 bagi penempatan guru di Sabah hampir mencapai sasaran apabila merekodkan 89.72 peratus setakat 30 Jun lalu.
Sementara kadar pengisian guru di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di negeri itu pula, telah mencecah 97.45 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata, dasar 90:10 dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada penempatan guru kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri itu.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memastikan keperluan guru di Sabah dipenuhi berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran selaras dengan prinsip kesaksamaan pendidikan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Dasar ini menetapkan 90 peratus guru di Sabah terdiri daripada anak negeri, manakala baki 10 peratus diisi oleh guru dari negeri lain berdasarkan keperluan perkhidmatan. Pelaksanaan dasar tersebut merupakan antara usaha berterusan kementerian dalam memastikan isu kekurangan guru di Sabah dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Phoong Jin Zhe berhubung pelan tindakan khusus kerajaan bagi menangani isu kekurangan guru dan infrastruktur pendidikan di Sabah.
Tambah Kah Woh, bagi mempercepatkan pengisian kekosongan guru, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyelaras unjuran keperluan guru dan pengambilan graduan pendidikan secara lebih bersepadu.
“Di samping itu, KPM juga melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan pula membuka permohonan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara dalam talian sepanjang tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














