fbpx

Bank Rakyat umum dividen 15%, bonus 2% sempena ulang tahun ke-70

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 15 peratus, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta.

Pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan bermula 5 April 2024.

Pada masa sama, Bank Rakyat turut mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-70, melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta.

Ia akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023 dan pembayaran dividen istimewa akan dilakukan pada September 2024.

Menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 sebanyak RM1.76 bilion, berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau RM64.48 juta.

Jelasnya, ia dipacu oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA), serta peruntukan penjejasan yang mencukupi.

“Pencapaian ini juga didorong oleh pendapatan utama Kumpulan yang melonjak sebanyak 12.90 peratus kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion sebelum ini, didorong oleh pertumbuhan baki kasar pembiayaan tahun ke tahun sebanyak 3.82 peratus dalam semua segmen perniagaan.

“Di samping itu, Kumpulan mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85 peratus, lebih rendah daripada purata industri.

“Secara keseluruhan, Kumpulan terus kompetitif bagi tahun semasa dan kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar di Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI