fbpx

JKNS rampas 77 produk bina badan tidak berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara produk bina badan yang dirampas JKNS.

SHAH ALAM – Kegiatan penjualan produk bina badan yang mengandungi anabolik steroid tidak berdaftar tumpas selepas diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), baru-baru ini.

Serbuan ke atas tiga premis pada 7 Mac lalu itu membawa kepada rampasan 77 jenis produk yang dianggarkan bernilai lebih RM220,000.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ummi Khaltom Shamsudin berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan secara dalam talian bagi produk itu dilakukan hasil aduan orang awam.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati produk itu tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Produk yang dirampas antaranya mengandungi anabolik steroid seperti trenbolone, boldenone, nandrolone dan stanazolol.

“Penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan- Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952,” katanya hari ini.

Tambah beliau, anabolik steroid merupakan bahan yang dikelaskan sebagai racun Kumpulan B di bawah Akta Racun 1952.

“Produk anabolik steroid kerap disalahgunakan bagi membina otot badan dan penyalahgunaannya boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon badan,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk.

“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI