fbpx

Deepfake dikesan semakin banyak digunakan dalam aktiviti penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan deepfake atau imej palsu mula rancak digunakan dalam kalangan penjenayah maya dalam melakukan aktiviti penipuan.

Deepfake digunakan untuk membuat video atau gambar kelihatan asli dengan memalsukan wajah seseorang dalam video serta audiomua bagi memperdaya mangsa dengan menyebarkan maklumat palsu atau melakukan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, keberadaan kecerdasan buatan (AI) telah memberikan impak besar dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam perlakuan jenayah.

“Penjenayah dunia maya dilihat mula menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan keberkesanan dan kejayaan dalam kegiatan penipuan mereka.

Antara contoh penggunaan AI yang dikesan dalam penipuan adalah penciptaan kandungan palsu atau deepfakes,” ujar beliau pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Jelas beliau, satu laporan polis daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah dibuat yang menafikan penglibatan serta pengetahuan mereka dalam skim pelaburan ‘Light Natural Gas’ yang kononnya dianjurkan oleh syarikat tersebut.

Tambah Ramli, penggunaan logo tanpa kebenaran serta paparan nama, suara dan wajah presiden syarikat itu turut digunakan dalam tawaran iklan pelaburan tersebut.

“Berdasarkan siasatan, JSJK percaya rakaman video yang dipaparkan dalam laman web tersebut diciptakan menggunakan teknologi AI atau spesifiknya deepfakes.

“Untuk rekod, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana mangsa berkaitan skim penipuan pelaburan ‘Light Natural Gas’,” katanya.

Ujar beliau, orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dan meningkatkan kesedaran berkenaan ancaman yang sedang dihadapi ekoran perkembangan teknologi yang berlaku.

Sementara itu, Ramli turut memaklumkan, sebanyak RM664.71 juta kerugian direkodkan bagi keseluruhan kes berkaitan jenayah komersial membabitkan 6,272 kertas siasatan sepanjang tempoh Januari dan Februari, tahun ini.

“Sebagaimana lazim, kes-kes penipuan atas talian merupakan kategori kes yang mencatatkan jumlah terbesar.

“Sejumlah 5,257 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM253 juta.

“Jumlah kes ini adalah bersamaan 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang disiasat,” katanya.

Menurut beliau, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi apabila merekodkan 2,092 kes melibatkan nilai kerugian RM65.86 juta.

“Seterusnya, jenayah e-dagang (transaksi urusniaga dalam talian) mencatatkan 1,205 kes dengan nilai kerugian RM11 juta diikuti pelaburan tidak wujud (980 kes) membabitkan kerugian RM 157 juta.

“Kes tertinggi seterusnya adalah pinjaman tidak wujud (584 kes) membabitkan kerugian RM6 juta dan jenayah e-kewangan (274 kes) menyebabkan kerugian RM 9 juta diikuti Love scam (122 kes) mengakibatkan kerugian RM3 juta,” ujar beliau.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI