KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS) mendapat suntikan semangat bagi menghadapi kempen Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi 2026 selepas menjalani kerjasama dengan Majlis Perbadaran Ampang Jaya, semalam.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, pihaknya tekad membantu mempersiapkan pasukan lebih awal sebagai bukti kesungguhan mereka mahu melihat Selangor terus mendominasi saingan berprestij itu nanti.
Menurut Hasrolnizam, sasaran utama adalah untuk melihat skuad Merah Kuning merampas trofi PERR bagi melengkapkan misi besar pasukan musim ini selain mengekalkan trofi Piala Agong.
“Kalau bercakap soal sasaran, pastinya kita mahu membawa legasi bola sepak Selangor ke tahap tertinggi.
“Kita mahu mencapai kemenangan, mahu menjadi juara dan mahu dihormati pasukan lawan. Tahun lalu kita sudah memenangi satu piala dan tahun ini pastinya kita mahu pergi lebih baik,” katanya.
Menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung semalam, kedua-dua pihak sepakat untuk meneruskan kerjasama memasuki tahun kedua selepas kejayaan membanggakan Selangor menjuarai Piala Agong musim lalu.
Mengulas lanjut, Hasrolnizam mengakui hubungan rapat antara MPAJ dan PBSMS turut menjadi faktor utama kerjasama itu diperhebatkan memandangkan ramai individu dalam persatuan berkenaan berada di sekitar kawasan pentadbiran Ampang Jaya.
Katanya, MPAJ memiliki pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan pasukan termasuk stadium serta keperluan logistik bagi memastikan persiapan Selangor berjalan lancar sepanjang musim.
“Kenapa tidak kita usahakan kerjasama seperti ini kerana di MPAJ sendiri kita mempunyai kelengkapan dan infrastruktur yang boleh dikongsikan.
“Selain itu, kita juga mahu masyarakat dari pelbagai pihak turun memberi sokongan kerana kekuatan Selangor sejak dahulu datang daripada kebersamaan rakyatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














