fbpx
Golongan remaja dan kanak-kanak mengambil peluang bermain bola sepak di kawasan berpasir di Sungai Tembeling, Jerantut kelmarin.

Long Beach Sungai Tembeling tarikan pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Keadaan Sungai Tembeling di sini, yang bertukar menjadi kering-kontang dan berpasir susulan musim kemarau menarik perhatian orang ramai, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai tarikan baharu pelancong asing.

Fenomena itu dapat dilihat dengan jelas di sepanjang Sungai Tembeling berdekatan Kampung Kuala Sat di sini, dengan rata-rata pelancong Eropah menyamakan kawasan itu seperti ‘Sat Long Beach’ selain menyerupai pantai di Florida, Amerika Syarikat.

Seorang penduduk, Jamarizan Rashid, 46, berkata, fenomena dataran Sungai Tembeling berpasir memang sering berlaku setiap kali penghujung musim tengkujuh iaitu ketika cuaca kembali panas.

“Sebelum ini pada penghujung tahun lalu hingga awal Januari, kawasan aliran Sungai Tembe­ling dinaiki air melebihi paras 106 meter sehingga melimpah masuk ke dataran kampung. Namun, kini ia berubah menjadi kering-kontang dan berpasir.

“Suasana ini memberi peluang kepada penduduk melakukan pelbagai aktiviti seperti menangkap ikan liar. Golongan kanak-kanak dan remaja antara yang paling gembira dan ceria kerana dapat menjadikan kawasan berpasir di tengah sungai sebagai padang bola sepak dan bola tampar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Jamarizan, kawasan yang dipenuhi pasir itu bagaimanapun menyempitkan alur air sehingga menyukarkan laluan bot penambang ke Kuala Tahan termasuk ke kawasan pelancongan di sepanjang su­ngai.

Namun, katanya, fenomena itu menggembirakan penggiat ekopelancongan yang menyaksikan kehadiran ramai pelawat domestik dan pelancong luar untuk beriadah seperti memancing, berenang di air cetek dan menikmati makanan tempatan berasaskan tumbuhan dan ikan liar.

Dalam pada itu, pemandu pelancong Pusat Pelancongan Kuala Sat, Alias Hashim, 46, berkata, dataran berpasir yang terhampar luas dikenali sebagai ‘Sat Long Beach’ seolah-olah pemandangan seperti sebuah pantai di Florida, Amerika Syarikat.

“Dataran berpasir ini merupakan aset tarikan pelawat ke sini, pelancong dari Eropah dan negara Scandinavia amat berminat ‘berjemur’ di sini di samping me­lakukan aktiviti berenang menggunakan pelampung getah dan berkelah di tepi sungai.

“Sejak awal bulan lalu, lebih 1,000 pelancong luar terutama dari negara Eropah singgah menginap di pusat inap di sini, untuk menikmati suasana perkampungan termasuk budaya orang Melayu Kuala Sat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN