fbpx
GEJALA radang apendiks yang klasik adalah sakit pada bahagian tengah abdomen sebelum berpindah ke sebelah kanan. – Gambar hiasan

Buang apendiks melalui laparoskopi kurang sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RADANG apendiks merupakan salah satu penyakit di bahagian abdomen yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.

Kebiasaannya, ia memerlukan pembedahan secara kecemasan sebaik didiagnosis.

Ia disebabkan jangkitan kuman pada organ ini. Jika tidak dirawat awal, organ apendiks tersebut boleh bernanah dan menjadi hitam disebabkan saluran darah tersumbat.

Seterusnya, ia boleh menyebabkan berlakunya kebocoran pada dinding apendiks itu sendiri.

Oleh itu, diagnosis awal dan cepat adalah sangat penting bagi mengelakkan pesakit kelewatan mendapat rawatan serta pembedahan.

Ia juga dapat mencegah sebarang komplikasi yang lebih teruk sekiranya apendiks tersebut bocor.

Penyakit ini sering terjadi kepada lelaki terutamanya yang berusia sekitar 10 hingga 30 tahun.

Dalam pada itu, gejala radang apendiks yang klasik adalah sakit di bahagian tengah abdomen.

Seterusnya, sakit itu akan berpindah ke bahagian bawah kanan abdomen (right iliac fossa). Rasa sakit tersebut biasanya terjadi dalam jangka waktu 12 hingga 24 jam.

Simptom sakit ini biasanya diiringi dengan muntah dan hilang selera makan. B1agaimanapun, pemeriksaan lanjut akan dilakukan sekiranya simptom yang dihadapi tidak seperti dinyatakan di atas atau berlaku dalam kalangan wanita kerana kemungkinan berkaitan organ lain di bahagian abdomen.

Disebabkan terdapat banyak organ dalaman di bahagian abdomen, pesakit biasanya akan menjalani beberapa ujian sebelum pembedahan dilakukan.

PEMBEDAHAN merupakan kaedah rawatan utama penyakit radang apendiks. – Gambar hiasan

Ini bagi memastikan tiada organ lain di dalam abdomen yang mempunyai simptom sama lebih-lebih lagi pesakit wanita.

Sementara itu, ujian saringan air kencing biasanya dilakukan bagi mengetahui status pesakit wanita sama ada mengandung atau tidak.

Ini kerana, kandungan luar rahim juga boleh menyebabkan simptom sakit sama. Ujian darah biasanya menunjukkan peningkatan sel darah putih (neutrofil).

Ini disebabkan radang apendiks kebiasaannya berlaku akibat jangkitan kuman bakteria dan bersifat akut.

Ujian imbasan ‘ultrasound’ juga dilakukan sekiranya simptom radang apendiks tidak begitu ketara.

Ini bagi mengenal pasti tiada penyakit-penyakit berkaitan saluran peranakan seperti rahim, ovari dan saluran tiub fallopian yang juga mempunyai simptom lebih kurang sama.

Terdapat juga peningkatan trend menggunakan imbasan ‘CT scan’ untuk mendiagnosis radang apendiks.

Namun, imbasan ‘CT scan’ hanya dilakukan kepada pesakit-pesakit tertentu kerana melibatkan risiko radiasi terutamanya kepada kanak-kanak dan wanita.

Walaupun demikian, imbasan ‘CT scan’ mampu memberi maklumat-maklumat tambahan sekiranya dilakukan terhadap pesakit yang obes, tua atau pesakit mempunyai sejarah pembedahan pada bahagian abdomen.

Pembedahan pembuangan apendiks adalah kaedah rawatan utama untuk penyakit ini.

Kaedah konvensional pembedahan apendiks adalah dengan membuat luka insisi di sebelah kanan abdomen dan seterusnya organ itu dipotong dan dibuang daripada tubuh.

Namun demikian, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, pembedahan apendiks boleh dilakukan dengan kaedah laparoskopi.

Kaedah laparoskopi hanya melibatkan luka tebukan yang sangat kecil pada bahagian abdomen.

Apendiks hanya dikeluarkan melalui luka tebukan tersebut. Saiz luka hanya berukuran 0.5 ke 1.5 sentimeter.

Dengan kaedah ini, pesakit hanya mengalami kesan sakit yang sangat minimum disebabkan luka insisi yang kecil.

Dalam pada itu, pesakit dibenarkan makan dan minum pada kadar segera selepas pembedahan kerana kesan muntah adalah minimum melalui kaedah laparoskopi ini.

Sekiranya tiada komplikasi selepas pembedahan, pesakit dibenarkan pulang ke rumah dalam masa 24 jam selepas pembedahan dijalankan.

Kaedah pembedahan secara laparoskopi sangat disyorkan kepada pesakit apendiks perempuan muda.

Ini kerana, doktor dapat memeriksa ovari dan rahim sebelum pembedahan apendiks dijalankan.

Pembedahan jenis ini juga sesuai untuk pesakit obes dan berkerjaya kerana mereka perlu kembali bekerja secepat mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN