fbpx

Restoran buka kedai runcit haram simpan gula, minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORENA menunjukan minyak peket bersubsidi yang dirampas di kedai runcit di Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka. - Foto oleh AMRAN MULUP / KOSMO!

MELAKA – Helah sebuah restoran di Melaka Raya, Banda Hilir di sini membuka sebuah kedai runcit bersebelahan premis itu demi menyimpan barang kawalan bersubsidi terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Lebih mengejutkan, kedai runcit itu yang baru dibuka 10 hari lalu tidak memiliki lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan permit menjual barang kawalan bersubsidi.

Dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 50 kilogram (kg) tepung pelbagai jenama, 276 kg gula dan 493 peket minyak masak ditemui di premis berkenaan.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kejadian itu adalah yang pertama dikesan berlaku di negeri ini membabitkan modus operandi membuka kedai runcit bagi menyimpan bekalan barang kawalan bersubsidi.

“Keseluruhan rampasan adalah sebanyak 845 kg dengan nilai RM2,000 telah disita.

“Ini adalah satu modus operandi baharu di mana pemilik restoran membuka sebuah kedai runcit bersebelahan yang kita syaki menjadi tempat penyimpanan barang-barang kawalan restoran tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi.

Tambah Norena, pihaknya percaya taktik itu digunakan pemilik restoran bagi mengaburi penguat kuasa KPDN yang kini kerap melakukan serbuan sehingga menyukarkan mereka membeli barang kawalan bersubsidi.

“Kedai runcit dan restoran ini dimiliki seorang lelaki warga asing. Berdasarkan keterangan pekerja kedai terbabit kita dimaklumkan bekalan minyak masak bersubsidi itu diperoleh daripada pemborong di negeri ini.

“Restoran atau mana-mana kedai makan tidak dibenarkan membeli barangan bersubsidi seperti minyak masak peket satu kg yang dikhususkan untuk kegunaan isi rumah sahaja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI