fbpx

Ahli perniagaan wanita rugi RM202, 400 diperdaya sindiket penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut kononnya mahu didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan dadah, seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM202,400 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berusia 47 tahun itu hanya menyedari tertipu apabila mendapati amaun wang simpanan dalam akaun banknya berkurangan begitu drastik pada Rabu lalu.

Beliau berkata, sebelum itu, ahli perniagaan tersebut telah dihubungi suspek yang mengaku sebagai wakil syarikat kurier dan pengawai polis pada awal bulan lalu.

“Suspek mendakwa mangsa sedang disiasat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah.

“Mangsa ditakut-takutkan agar memberi kerjasama mendedahkan maklumat akaun bank dan kata laluan perbankan internet sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan perundangan,” katanya di sini hari ini.

Mazli berkata, wanita terbabit bukan sahaja menyerahkan maklumat perbankannya malah menurut arahan melakukan transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank diberikan suspek.

Tambah beliau, anggota sindiket itu mendakwa siasatan jenayah kononnya melibatkan ahli perniagaan itu hanya akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

“Mangsa hanya mengetahui tertipu apabila disedarkan ahli keluarganya tentang kes melibatkan sindiket penipuan pada Rabu lalu.

“Semakan ke akaun banknya mengesahkan dia tertipu apabila wang simpanan RM202,400 telah dipindahkan ke akaun-akaun bank lain sebanyak 35 transaksi tanpa pengetahuannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI