KANGAR – Kebanyakan bukit di negeri ini bertukar menjadi keperangan ekoran musim angin timur sehingga Mac depan dan menjadi tarikan baharu buat pelancong bertandang ke sini.
Fenomena yang berlaku antara Disember hingga Mac setiap tahun itu membawa bersama suhu mencecah 38 darjah Celcius pada waktu siang dan menurun kepada 24 pada sebelah malam.
Pengasas Perlis Nature Xplorer, Syamil Abd. Rahman berkata, fenomena yang dikenali sebagai angin timur itu berlaku disebabkan kedudukan geografi dan iklim setempat.
“Kedudukan Perlis di penghujung utara Pentas Sunda menyebabkan flora, fauna dan cuaca dipengaruhi oleh ciri Indo-China.

“Ia berkongsi iklim monsun tropika, menerima angin Monsun Timur Laut yang sejuk dan kering serta tempias luruan angin sejuk Siberia menjadikan kawasan tanah tinggi nyaman seperti di Wang Kelian,” katanya.
Menurut Syamil, pokok kayu jenis dipterokarpa pamah seperti meranti, merawan, cengal dan mersawa di hampir kesemua bukit batu kapur bertukar keperangan dan luruh ekoran tidak menerima hujan sejak 29 hari lalu sebelum berputik kembali pada awal April.
Sementara itu, tinjauan di View Point Wang Kelian, Padang Besar mendapati, lokasi itu terus menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati pemandangan indah dan angin sejuk bertiup kencang walaupun suhu tinggi.
Seorang pelancong China, Hebei di China, Li Yuan, 30, berkata, keadaan itu seperti di Changping, Beijing dan dia membawa teman wanitanya untuk menikmati panorama yang indah itu.














