fbpx

BATC 2024: Malaysia jumpa Singapura di suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan Izzuddin memastikan Malaysia muncul juara Kumpulan B saingan BATC 2024 selepas menghadiahkan mata ketiga ketika bertemu Taiwan sebentar tadi. - Amir Khalid

SHAH ALAM – Skuad badminton lelaki negara boleh dianggap mendapat laluan selesa apabila diundi bertemu Singapura pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas muncul juara Kumpulan B.

Malaysia memastikan slot ke suku akhir sebagai juara kumpulan selepas menewaskan Taiwan 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam sebentar tadi.

Undian itu menyaksikan Malaysia memiliki peluang cerah untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2022.

“Kemenangan ke atas (Lin) Chun Yi bukan sahaja menyuntik semangat saya, malah rakan sepasukan yang lain juga. Sekarang kami mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk perlawanan akan datang.

“Saya juga gembira kerana dapat menampilkan aksi terbaik selain keluarkan apa yang jurulatih ajar. Strategi dan teknik hari ini sangat membantu permainan saya,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.

Tiga lagi pertemuan menyaksikan China menentang Indonesia dan Korea Selatan bertemu Taiwan manakala India akan membuat perhitungan dengan Jepun.

Pada aksi penentuan juara kumpulan sebentar tadi, Malaysia bermula langkah kanan apabila Zii Jia menyumbang mata pertama selepas menang straight set 21-16, 21-13 ke atas Chun Yi.

Taiwan menyamakan kedudukan menerusi acara beregu lelaki selepas Lee Jhe Huei-Lee Yang menewaskan gandingan No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 23-21, 21-17 dalam tempoh 34 minit.

Bagaimanapun, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia 2-1 di depan selepas menewaskan Lee Chia Hao 21-19, 21-17 sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memastikan Malaysia muncul juara Kumpulan B apabila menang 21-19, 21-14 ke atas Wang Chi Lin-Yang Po Han.

Perseorangan ketiga, Eogene Ewe bagaimanapun kempunan untuk menghadiahkan mata keempat negara apabila terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 14-21 kepada Chi Yu Jin.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Malaysia berdepan tugas berat untuk melangkah ke separuh akhir apabila diundi menentang juara bertahan, Indonesia yang merupakan pemenang bagi saingan Kumpulan X.

Untuk rekod, pada edisi 2022 yang berlangsung di venue sama, skuad wanita negara berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir sebelum disingkirkan Korea Selatan menerusi keputusan 3-0.

Dalam tiga lagi perlawanan suku akhir, Jepun akan membuat perhitungan dengan China, manakala India bertemu Hong Kong sementara Taiwan menentang Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI