fbpx

47 saksi beri keterangan kes rasuah, wang haram Adam Radlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Hari ini sebutan kes untuk status pertuduhan (dihadapi Adam Radlan) di bawah pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat (rasuah). Pendakwaan memohon kes terbabit dibicarakan bersama kerana berkaitan transaksi yang sama. Saksi pula akan memberi keterangan dengan membaca pernyataan saksi,” kata Farah Yasmin.

Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan, 43, tidak membantah untuk pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya dibicarakan bersama.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak Hakim
Suzana Hussin kemudian membenarkan semua pertuduhan iaitu lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram Adam Radlan untuk dibicarakan bersama.

“Justeru saya tetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac ini untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi,” kata hakim itu.

Sebelum ini, Hakim Suzana telah menetapkan perbicaraan kes Adam Radlan selama 15 hari yang bermula pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada tahun lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI