KOTA TINGGI – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menembak tiga individu di sebuah kedai makan di Taman Kota Jaya, di sini, 19 April lalu.
Tertuduh Lim Lian, 71, mengangguk faham selepas tiga pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga pekebun itu dituduh telah membunuh Wong Poh Soon, 61, wanita Vietnam, Tran Thi Trang, 37, dan Chen Kwai Hwa, 64.
Perbuatan itu dilakukan lelaki yang juga pekebun itu di sebuah kedai makan di Jalan Delima, Taman Kota Jaya, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 19 April lalu.
Ekoran itu Lim Lian didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar memohon satu tarikh singkat bagi mendapatkan izin supaya kes berkenaan dapat dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan segera.
Tertuduh yang diwakili peguam Belinda Low mencadangkan tarikh 13 Mei untuk pendakwaan.-KOSMO! ONLINE














