SHAH ALAM – Tindakan seorang pemilik tanah yang membenarkan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Setia Alam di sini akhirnya memakan diri apabila bakal berdepan kompaun sebanyak RM200,000.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, kompaun itu dikenakan selepas pihaknya mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, pemilik tanah itu sebelum ini telah tampil untuk direkodkan keterangan bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, bagi penempatan PATI yang terletak di ladang kelapa sawit, pemiliknya dikenal pasti milik syarikat dan akan hadir ke JIM Selangor dalam masa terdekat.
“Bagi satu lagi lokasi di Jalan Hamzah, tiga pemilik telah diambil keterangan kerana penempatan itu membabitkan tiga lot tanah dan kes masih dalam siasatan,” katanya hari ini.
Jelasnya, Jabatan Imigresen Selangor juga telah bermesyuarat dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor berkenaan isu penempatan terbabit.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan penemuan penempatan PATI di Setia Alam dipercayai wujud unsur persengkokolan oleh pemilik tanah, selepas salah satu daripada tiga lokasi itu pernah diserbu dua tahun lalu.
Penempatan koloni tersebut terbongkar
selepas Operasi Bersepadu selama dua jam bermula pukul 12 tengah malam pada 5 April lalu dilakukan pihak berkuasa, malah mereka terpaksa mendaki hampir 400 meter untuk menjejak penempatan haram itu. – KOSMO! ONLINE














