PETALING JAYA – Taktik menggunakan lesen perniagaan atas nama warga tempatan bagi menjalankan perniagaan yang diurus sepenuhnya oleh warga asing terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu enam premis di sekitar daerah Sepang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada semalam itu turut menyasarkan kesalahan penyalahgunaan pas oleh warga asing.
Menurutnya, operasi bermula pada pukul 10.20 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap enam premis yang menjalankan aktiviti kedai runcit dan pasar raya mini.
“Hasil pemeriksaan, seramai 13 warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja di premis-premis tersebut telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan premis berkenaan dipercayai menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia, namun dioperasikan sepenuhnya oleh warga asing.
Katanya, pembayaran tanpa tunai di premis terbabit juga dipercayai dibuat menggunakan kod QR yang dipautkan ke akaun bank milik individu warga asing.
“Sebahagian premis juga didapati menjual produk dan barangan yang khusus untuk pelanggan warga asing khususnya warga Bangladesh,” ujarnya.
Menurut Zakaria, kesemua individu yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tegas beliau, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. – KOSMO! ONLINE














