fbpx

15 syarikat perladangan getah sedia latihan kepada Orang Bebas Berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrisam (kanan) melakukan gimik menoreh getah semasa merasmikan Kursus Pembukaan Panel Torehan dan Teknik Torehan Getah kepada OBB di PPA Machang hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

MACHANG – Sebanyak 15 buah syarikat perladangan di Kelantan telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyediakan latihan dan kemahiran kepada Orang Bebas Berlesen (OBB) yang akan mengikuti program pemulihan dalam komuniti.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, kerjasama itu sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada 750 prospek (penghuni penjara) menjalani kehidupan dalam komuniti sepanjang tahun ini bermula Mac depan.

Menurutnya,setakat ini, 15 syarikat yang menjalinkan kerjasama melalui Program Corporate Smart Internship (CSI) membabitkan industri perusahaan getah di daerah Tanah Merah dan Kuala Krai yang berminat untuk mendapatkan tenaga pekerja daripada prospek.

“Kita telah menjalankan kerjasama dengan 15 buah syarikat itu dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam industri getah di negeri ini.

“Jadi, setiap ladang boleh menawarkan 50 peluang pekerjaan kepada prospek. Setakat ini, kita sudah mengumpul 150 prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang untuk menghadiri kursus selama dua hari bersama Lembaga Getah Malaysia ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pembukaan Panel Torehan dan Teknik Torehan Getah kepada OBB di PPA Machang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrisam memberitahu, menerusi program itu, majikan akan bertindak sebagai penyelia dan perlu menyediakan kemudahan asrama kepada prospek sepanjang tempoh yang ditetapkan berdasarkan baki hukuman.

Katanya, torehan getah merupakan latihan dan kursus pertama dilaksanakan di Kelantan malah ia mampu dikembangkan ke negeri lain sekiranya mendapat permintaan daripada syarikat perladangan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI