SUNGAI PETANI – Beberapa kawasan perkelahan di sekitar daerah Kuala Muda dan Yan, dekat sini menjadi tumpuan ramai sejak beberapa hari lalu ekoran cuaca panas yang melanda ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi termasuk di Kawasan Rekreasi Tupah, Sungai Batu Pahat di Merbok serta Seri Perigi dan Titi Hayun di Yan semalam mendapati, kawasan berkenaan menerima ramai kunjungan berbanding sebelum ini.
Seorang pengunjung, Mohamad Solihin Jabar, 45, dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil peluang membawa ahli keluarganya berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah untuk menyejukkan badan.
“Saya pulang bercuti ke rumah mentua di Kampung Semeling, dekat sini dan disebabkan cuaca terlalu panas, kami mengambil keputusan untuk mandi-manda di sini.
“Sekurang-kurangnya dapatlah meredakan bahang kepanasan yang melanda sekarang kerana rumah mentua tidak mempunyai pendingin hawa,” katanya yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Bagi Saidin Said, 38, dari Taman Kelisa, di sini pula berkata, cuaca panas sejak kebelakangan ini menyebabkan dua anak lelakinya yang berumur tiga dan lima tahun sering meragam.
“Minggu ini sahaja sudah dua kali saya membawa mereka berendam air di sini dan nampaknya mereka gembira kerana dapat menyejukkan badan.
“Walaupun airnya tidak dalam seperti selalu, tetapi anak-anak saya puas dapat bermain air,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta dari Taman Bakar Arang, dekat sini, Musliha Mustapha, 43, berkata, sempena cuti sekolah ini dia turut membawa tiga anak dan ahli keluarga lain untuk berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah kerana kawasan itu dekat dengan kediamannya.
“Suasana di sini agak nyaman dan yang paling penting anak-anak dapat bermain air yang secara langsung dapat menyejukkan badan pada musim panas ini,” ujarnya.















