fbpx

Batal Enakmen Syariah Kelantan: Hamzah mohon menghadap Agong, Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah.

PETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan memohon menghadap bagi menyerahkan memorandum khas berkaitan keputusan petisyen peguam, Nik Elin Zurina kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam masa terdekat.

Hamzah melalui satu kenyataan hari ini berkata, beliau juga akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam masa terdekat.

“Ia bagi menyembah maklum suara hati rakyat serta langkah-langkah penyesuaian kepada pemerkasaan yang perlu dilunaskan.

“Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan ‘Hak Menganut dan Mengamal’ majoriti rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Hamzah berkata, kesan daripada keputusan mahkamah itu akan menggugat Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri-negeri dalam negara dan ia juga akan mendedahkan enakmen negeri-negeri terlibat kepada risiko pembatalan.

“Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Walhal, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang antara lain mewasiatkan ‘Kami Mengisytiharkan Islam Adalah Agama Rasmi Persekutuan’ dan ‘Kami Mengamanahkan dan Kami Pertanggungjawabkan Kepada Raja-Raja Melayu Untuk Melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu’,” katanya.

Tambah Hamzah, sebagai langkah kehadapan, menjadi keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak ‘Menganut dan Mengamal’.

“Kami menyeru kepada semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat ini,” ujar beliau lagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI