fbpx

Tiada aduan kekurangan barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan ketika mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu 2024 di Papar hari ini. -Foto IVAN AMIRUL

PAPAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan tiada sebarang aduan rasmi diterima berkaitan kekurangan barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah menyatakan bahawa semua bekalan barangan yang diperlukan pengguna sepanjang Tahun Baharu Cina kali ini adalah mencukupi.

“Kita akan terus bekerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan tidak terputus dan kita yakin kementerian mereka juga sudah membuat perancangan awal setiap musim perayaan agar semua bekalan mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, pelaksanaan skim harga berkenaan akan berkuatkuasa bermula pada 8 sehingga 14 Februari 2024 iaitu selama empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.

Menurutnya, sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 termasuklah udang putih, ikan bawal putih, ubi kentang import (China), lobak putih import dan bawang putih.

“Skim harga semua barangan ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Hal ini membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI