fbpx

4 pemandu bas kilang positif dadah di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifly memberi nasihat kepada seorang pemandu bas pekerja dalam Ops Bersepadu di Seberang Jaya, semalam.

SEBERANG PERAI – Empat daripada lapan pemandu bas kilang dikesan positif dadah selepas menjalani ujian saringan menerusi Ops Bersepadu Bas Pekerja oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di Seberang Jaya, semalam.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, selain JPJ, operasi penguatkuasaan itu turut disertai pasukan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan jumlah keseluruhan anggota terlibat adalah seramai 94 orang.

Menurutnya, dalam operasi yang berlangsung selama lima jam bermula 4 petang itu, enam buah bas pekerja juga telah disita atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan tersebut ialah pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu serta LKM (Lesen Kenderaan Motor) tamat tempoh. Untuk pengetahuan, dalam operasi ini, kita berjaya mengesan sebuah bas pekerja yang dipandu dengan LKM tamat tempoh sejak hampir empat tahun yang lalu.

Zulkifly (dua dari kiri) memeriksa sebuah bas pekerja yang menggunakan NGV tamat tempoh dalam Ops Bersepadu Bas Pekerja di Seberang Jaya, semalam.

“Selain itu, ada juga bas (van) pekerja yang kita periksa menggunakan NGV (tangki gas cecair asli) yang telah tamat tempoh sejak setahun yang lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, tangki gas itu mengalami kebocoran dan mengeluarkan bau yang kuat. Ini bukan sahaja boleh membahayakan pemandu serta penumpang kenderaan terbabit, tetapi boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain juga,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Tambah Zulkifly, secara keseluruhannya, sebanyak 224 kenderaan telah diperiksa dalam Ops Bersepadu Bas Pekerja itu dengan 42 daripadanya telah diambil tindakan.

Katanya, sebanyak 154 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dalam operasi itu termasuk 80 kesalahan teknikal dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI