fbpx

Bekas presiden kelab bebas pertuduhan salah guna wang bantuan RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Yusri (kiri) dan peguamnya, Mariah semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Presiden Kelab Berbasikal Darul Naim (DCC) atas dua pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan wang bantuan pembangunan sukan berbasikal berjumlah RM80,000, tujuh tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd. Noor membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 48.

Beliau berkata, sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan iaitu pindaan utama dan pindaan pilihan.

“Selepas mendengar keterangan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati pihak terbabit gagal membuktikan elemen utama iaitu jawatan tertuduh sebagai presiden yang sah bagi kelab berbasikal itu dan bukannya pengerusi kelab.

“Mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan 403 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan utama, lelaki itu didakwa sebagai presiden kelab DCC telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta iaitu wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 bagi kegunaan sendiri.

Bagi pertuduhan pindaan pilihan, Mohammad Yusri didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 untuk kegunaan sendiri..

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh dekat sini pada 26 Mac 2017.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat Mohammad Yusri perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat selain tidak mengganggu saksi kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI