fbpx

Peniaga rugi RM6.2 juta terpedaya skim pelaburan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Seorang peniaga mengalami kerugian RM6.2 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan emas yang tidak wujud di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan itu bermula pada 14 Oktober lalu selepas wanita berusia 61 tahun dari Taman Rasi Jaya itu menekan pautan nombor telefon yang diperoleh melalui blog pelaburan di Facebook.

Katanya, suspek yang dikenali melalui pautan itu kemudiannya memasukkan nombor telefon mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp berbeza bagi tujuan pelaburan dalam pasaran emas.

“Sejak itu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,220,000.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mahu mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2.2 juta. Suspek bukan sahaja tidak membalas mesej mangsa malah platform pelaburan emas itu juga sudah tidak boleh diakses,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa telah pun membuat laporan berkaitan penipuan itu semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Mohd. Yusri menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melalui aplikasi pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI