fbpx

Houthi benar 64 kapal lintas Laut Merah dengan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal Galaxy Leader yang dirampas oleh Houthi menghampiri pelabuhan di Hodeida, Yemen, di luar pantai Laut Merah pada 22 November 2023. – AFP

SANA’A – Militia Houthi membenarkan 64 buah kapal dagang menyeberangi Laut Merah dengan selamat selepas setiap kapal mengibar sepanduk mengisytiharkan penolakan hubungan dengan Israel, lapor agensi berita Anadolu kelmarin.

“Penyelesaian paling mudah untuk membenarkan kapal-kapal melalui Laut Merah dengan selamat adalah mereka perlu mengibar sepanduk tertera slogan: “kami tidak mempunyai hubungan dengan Israel”.

“Kaedah ini berkesan, di mana 64 kapal dibenarkan melintasi Laut Merah tanpa sebarang konflik atau masalah,” kata ahli Majlis Politik Tertinggi Houthi, Mohamed Ali al-Houthi dalam satu kenyataan.

Situasi di Laut Merah tegang selepas pemberontak Houthi dari Yemen menyerang ke kapal-kapal komersial yang disyaki mempunyai kaitan dengan Rejim Zionis.

Menurut Houthi, serangan dilakukan untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan perang di Semenanjung Gaza yang menyaksikan lebih 25,000 penduduk Palestin, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak 7 Oktober lalu.

Ketegangan di laluan perdagangan tersebut semakin meruncing selepas tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan siri serangan udara yang menyasarkan berbilang sasaran milik puak Houthi di Yemen.

Perkembangan yang berlaku mencetuskan kebimbangan baharu mengenai inflasi dan gangguan dalam jaringan bekalan global.

Ini kerana Laut Merah merupakan antara laluan air utama dan paling kerap digunakan oleh kapal tangki dan kapal dagang lain.

Perairan itu turut menjadi transit di antara Terusan Suez di Mesir dan Teluk Aden. Ia membolehkan kapal-kapal dagang mengelak melalui laluan lebih jauh dan mahal di perairan selatan Benua Afrika.

Sementara itu, laman berita The New Arab melaporkan, beberapa kapal komersial yang menyeberangi selat Bab al-Mandab di luar pantai Yemen dan rantau Tanduk Afrika turut melakukan tindakan serupa bagi mengelakkan serangan puak Houthi.

Kapal-kapal dagang dari pelbagai lokasi seperti China, Cameroon, Panama dan Singapura dilaporkan akur kepada permintaan Houthi itu bagi memastikan laluan selamat di Laut Merah.

Sementara itu, beberapa laporan pada minggu lalu menyebut bahawa sebilangan syarikat insurans mula mengelak daripada memberi perlindungan kepada kapal-kapal dari Britain, AS dan Israel berikutan risiko tinggi serangan ketika melintasi Laut Merah.

Menurut agensi berita Bloomberg, terdapat juga klausa khas dalam skim perlindungan insurans kapal berbunyi ‘tiada penglibatan Israel’.

Pasukan Gabungan Maritim Anti-Houthi diketuai oleh AS mengeluarkan desakan agar kapal-kapal mengelak sama sekali daripada menyeberangi selat Bab al-Mandab ketika serangan Houthi semakin memuncak.

Sebilangan kapal tetap menggunakan perairan itu sebagai laluan perdagangan utama.

Bagaimanapun, bagi mengekang serangan, mereka sama ada mematikan sistem pengenalan atau menggunakan frasa mengakui tidak terlibat dengan Israel.

Pemberontak Houthi menyerang kapal-kapal dagang dengan menggunakan senjata dron dan peluru berpandu sejak November tahun lalu. Militia itu melancarkan sekurang-kurangnya 29 serangan setakat ini dalam apa yang mereka dakwa sebagai sekatan ke atas Israel akibat perang di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI