BAGI mereka yang membesar sekitar penghujung tahun 90-an dan awal 2000 pasti pernah mendengar nama-nama seperti Bun, Ajib, Alan, Aman dan Adul.
Nama-nama tersebut adalah watak-watak yang ditampilkan dalam siri animasi Anak-anak Sidek yang ditayangkan di kaca televisyen pada ketika itu.
Melalui siri animasi berkenaan, ramai generasi muda pada ketika itu mula mengenali kisah perjalanan hidup anak-anak Sidek dalam sukan badminton.
Anak-anak Sidek bukan hanya satu siri animasi, tetapi ia adalah satu kisah nyata tentang lima bersaudara iaitu Misbun Sidek, Razif Sidek, Jalani Sidek, Rahman Sidek dan
Rashid Sidek yang telah mengharumkan nama negara ke persada dunia dalam sukan badminton.
Namun begitu, setelah siri animasi Anak-anak Sidek tidak lagi disiarkan, ramai generasi muda kini tidak tahu akan kisah mereka.
Salah seorang daripadanya ialah Shamnur Munirah Ayuni Nor Hady. Pemuda berusia 20 itu, sama sekali tidak mengenali jaguh-jaguh badminton daripada keluarga Sidek.
Namun, setelah mengunjungi Pameran Anak-Anak Sidek yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dia mula mengetahui kisah lima bersaudara tersebut.
“Saya generasi yang lahir selepas siri animasi Anak-anak Sidek tidak ditayangkan lagi. Secara jujur, sebelum ini saya tidak mengenali mereka dan ambil tahu kisah anak-anak Sidek.
“Bagaimanapun, setelah mengunjungi pameran ini, saya mula mengenali siapa mereka sebenarnya,” jelasnya.
Tambahnya, generasi muda sepertinya harus datang ke pameran itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut kisah anak-anak Sidek dalam sukan badminton.
Ujarnya, kisah mereka itu akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah pada masa hadapan.
Dalam pada itu, sebagai satu bentuk penghargaan kepada anak-anak Sidek dalam sukan badminton, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) bertanggungjawab menganjurkan pameran itu.
Pameran berlangsung sehingga 30 April depan itu menceritakan kisah kejayaan keluarga Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membesar lima anak lelakinya di Kanchong Darat, Banting sebagai pemain badminton ternama dunia.
Pegawai Penerangan Padat, Farhani Shamsudin berkata, kejayaan ditempa oleh semua anak-anak Sidek itu telah menjadi satu lipatan sejarah yang wajar dipamerkan untuk tatapan masyarakat.
“Pameran ini dibahagikan kepada lima segmen. Ia dimulakan dengan kisah ketika mereka di zaman kanak-kanak, perjalanan karier dan kejayaan yang diperoleh oleh kesemua anak-anak Sidek sepanjang kerjaya sebagai pemain badminton negara serta jurulatih.
“Turut dipamerkan adalah koleksi-koleksi seperti medal kejuaraan yang dimenangi mereka seperti kejuaraan All England, Komanwel, Sukan Asia dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas tentang pameran itu, Datuk Misbun Sidek berkata, keluarganya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Selangor dan Padat kerana melaksanakan pameran khas mengenai anak-anak Sidek.
Menurutnya, pameran itu amat bermakna buat mereka sekeluarga dan ia dapat menyemarakkan lagi minat generasi muda dalam arena badminton.
“Sudah lebih 50 tahun kami bermain badminton. Dari berusia lima tahun, kami telah dilatih oleh ayah sehingga berjaya mewakili negara.
“Ketegasan ayah dalam mendidik, mengajar dan meminati sukan badminton telah membawa kami terutama lima beradik menjadi seperti yang anda kenali sekarang.
“Jika diingat dan dikenang, terlalu banyak untuk diceritakan. Namun, dengan adanya pameran sebegini, sedikit sebanyak cerita kami dapat dipaparkan untuk bacaan serta tatapan orang ramai,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Misbun berkata, jika mereka di luar sana pernah mengikuti siri animasi Anak-anak Sidek yang disiarkan bermula 1999 sehingga 2003, pasti dapat membayangkan gambaran sebenar perjalanan hidup keluarganya.
Selain itu, pameran tersebut turut memaparkan koleksi gambar-gambar keluarga Sidek.
Tambah menarik, pameran tersebut turut mempamerkan dua batang raket badminton milik Sidek untuk tatapan umum.
Bercerita tentang raket tersebut, Misbun berkata, ia adalah benda paling disayangi oleh ayahnya.
“Raket ini adalah satu daripada nostalgia yang pernah saya lalui ketika penglibatan dalam badminton,” ujarnya.
Untuk makluman, Misbun bukan sahaja berjaya meraih kejayaan sebagai pemain.
Sebaliknya, beliau telah berjaya melahirkan tiga pemain perseorangan nombor satu dunia sepanjang karier sebagai jurulatih.
Di bawah asuhan Misbun, tiga pemain perseorangan nombor satu dunia yang berjaya dilahirkan iaitu Roslin Hashim, Wong Choong Hann dan Datuk Lee Chong Wei.
Di dalam pameran itu juga, pengunjung berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut tentang Servis Sidek.
Servis Sidek telah digunakan pada Kejohanan All England 1982 oleh pasangan beregu negara yang diwakili Datuk Razif Sidek yang berusia 19 tahun dan Datuk Seri Jalani (18 tahun) pada ketika itu.
Mereka telah menumpaskan beregu Scotland pada perlawanan akhir dengan menggunakan servis tersebut.
Kemenangan itu juga telah menyebabkan Servis Sidek menjadi perdebatan hangat pada Mesyuarat Agung Persatuan Badminton Antarabangsa (IBF).
Disebabkan itu, satu utusan dihantar kepada IBF bagi menghalang penggunaan Servis Sidek setelah menerima rungutan daripada para pemain khususnya dari negara Barat.
Pengerusi IBF pada ketika itu telah bersetuju dan menganggap servis tersebut memberikan peluang mudah untuk anak-anak Sidek menang dalam setiap perlawanan.
Akhirnya, Servis Sidek diharamkan dalam semua kejohanan antarabangsa bermula 1 Julai 1982 sehingga kini.
Sementara itu, mengulas tentang pameran itu, Jalani berkata, dia amat sayu apabila legasi anak-anak sidek diabadikan dalam pameran itu.
Menurutnya, pemeran itu juga menunjukkan kasih sayang mereka kepada ayah dan ibu yang telah tiada.
“Dengan adanya pameran ini, ia secara tidak langsung menunjukkan anak-anak kampung sebenarnya boleh menjadi juara.
“Bagaimanapun, usaha dan keyakinan serta sokongan orang tua harus ada untuk merealisasikan impian berkenaan,” jelasnya.
Tambahnya, melalui pameran itu, mereka dapat berkongsi tentang pencapaian yang diraih sepanjang terlibat dalam arena badminton.















