fbpx

Mini Dhaka: ‘Mereka selalu mabuk, kacau anak dara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dekat Beranang, di sini semalam. Foto oleh FARIZ RUSADIO

SEMENYIH – Kebanjiran warga asing di kawasan sekitar Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dekat Beranang di sini didakwa sering membuat kekacauan sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.

Seorang penduduk yang menetap lebih 15 tahun di sini, Syed Kadir Syed Abdullah, 33, berkata, keadaan di kawasan terbabit menjadi semakin parah apabila bilangan warga asing melebihi penduduk tempatan.

Selain itu, Syed Kadir mendakwa dia turut melihat sebuah bas yang dipenuhi warga asing menghantar mereka ke salah sebuah blok di sini, minggu lalu.

“Mereka ini selalu bergaduh dan mabuk di kawasan pangsapuri. Kami nak tegur pun takut sebab mereka semakin ramai. Baru-baru ini, sebuah bas lagi sampai hantar warga asing di sini.

“Lebih membimbangkan, ada yang berani kacau ‘anak dara’ dan penduduk tempatan. Banyak aduan kami terima menerusi jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma dekat Beranang di sini, malam semalam.

Operasi tersebut yang bermula pada pukul 12 tengah malam menahan sebanyak 561 orang yang mana majoritinya merupakan warga Bangladesh dan Myanmar di lokasi berkenaan yang digelar sebagai ‘Mini Dhaka’.

Kata pekerja swasta itu, kemunculan warga asing seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ turut memonopoli perniagaan di kawasan tersebut.

“Sebenarnya semua premis perniagaan di sini memang dikawal oleh mereka. Ada tiga sahaja perniagaan tempatan. Segelintir daripada mereka juga lebih ‘berduit’ daripada kami sehingga ada yang keluar kereta Toyota Vellfire dan Hilux.

“Saya harap selepas ini, lebih banyak operasi dibuat pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana pangsapuri ini ada 26 blok. Jadi, ramai lagi warga asing yang perlu diperiksa,” jelasnya.

Selain itu, seorang penduduk di blok F di sini, Abdul Halim Ariffin, 36, berkata, lambakan warga asing di pangsapuri terbabit mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya.

“Saya berasal dari Kelantan dan sudah menetap di sini selama lima tahun kerana dapat tawaran kerja di Kajang. Antara perkara saya paling risau adalah keselamatan isteri dan anak-anak.

“Mereka pun nak buat aktiviti seperti bermain dengan kawan-kawan atau jiran tetapi saya sering ingatkan mereka untuk tidak pergi ke blok yang dipenuhi warga asing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI