fbpx
Keadaan sebuah kereta selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2, awal pagi tadi. Foto IHSAN BOMBA

Lelaki parah, tunang maut kereta rempuh bas di MRR2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah manakala tunangnya maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh belakang sebuah bas yang berada di tepi jalan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa wanita berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut tersebut pada pukul 4.53 pagi.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama tunangnya.

“Ketika kejadian, kenderaan tersebut dipercayai bergerak di lorong kiri dari arah Batu Caves menghala ke Kepong sebelum pemandu gagal mengawal kenderaan.

“Kereta itu kemudian terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar bahagian belakang sebuah bas milik sekolah antarabangsa yang diletakkan di tepi jalan tanpa sebarang papan tanda amaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, bas berkenaan dipercayai diletakkan di lokasi tersebut kerana pemandunya tinggal berhampiran kawasan kejadian.

Katanya, akibat kemalangan itu, penumpang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Selayang.

“Pemandu kereta pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Mohd. Zamzuri berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, namun dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan, disyaki akibat mengantuk.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.

“Sampel darah pemandu turut diambil untuk ujian toksikologi dan kedua-dua kenderaan terlibat telah dibawa ke stor barang kes untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN