PETALING JAYA – Tidak pernah menyesal melangkah ke alam perkahwinan pada usia muda, penyanyi Syasya Rizal mengakui fasa tersebut membuka ruang untuk dirinya berkembang menjadi individu lebih matang.
Ujar Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, tanggapan umum kononnya perkahwinan awal menamatkan kehidupan menyeronokkan sebenarnya tidak tepat.
“Orang ingat kahwin muda terus kehidupan seronok tamat. Hakikatnya, tiada siapa bercerita bagaimana kita belajar dan mencuba menjadi versi diri lebih baik bersama pasangan.
“Siapa kata kahwin muda dan ada anak itu tidak indah? Orang nampak penat, sibuk dan tiada masa manis seperti dahulu,” katanya dalam TikTok.
Tambah bekas anggota kumpulan Dolla itu, meskipun kehidupan berubah selepas bergelar isteri dan ibu, transisi tersebut membawa nilai kematangan lebih besar dalam diri.
“Fasa ini sebenarnya sangat mematangkan kita.
“Memanglah tidak akan sama seperti dulu, tetapi lebih baik. Insya-Allah,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen tampil memberikan sokongan serta berkongsi pandangan masing-masing mengenai realiti perkahwinan muda.
“Betul kata Syasya, macam saya dulu tak ramai kawan, sunyi tapi sekarang ada suami boleh pergi ke mana sahaja yang kita mahu tanpa risaukan keselamatan senang dah ada peneman.
“Tak jadi penat bila kahwin dengan orang yang tepat sebab suami awak ada common sense sebagai seorang suami. semoga jodoh kalian berkekalan sehingga ke Jannah,” tulis beberapa pengguna media sosial.
Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat perkahwinan pada usia muda memerlukan kesiapsiagaan dari segi emosi dan kewangan bagi mengelakkan tekanan pada masa depan.
Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024.
Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Yassir Hayyan, 1, dan Yara, dilahirkan hujung tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














