fbpx

Tun Daim: Siasatan terganggu jika benar semakan kehakiman cabar SPRM – Peguam Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daim.

KUALA LUMPUR – Peguam Negara (AG) menyifatkan kuasa penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya tidak boleh dicabar.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata siasatan akan terganggu dan tidak akan selesai jika semakan kehakiman difailkan pihak terbabit untuk mencabar siasatan agensi penguatkuasaan dibenarkan.

“Pelaksanaan fungsi berhubung penyiasatan jenayah tidak boleh dicabar dengan semakan kehakiman. Mahkamah (lain sebelum ini) dalam membuat keputusan berkali-kali mengingatkan bahawa dengan membenarkan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan fungsi berkaitan penyiasatan jenayah.

“Ia akan membuka lebih banyak ruang untuk mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian yang membawa kepada huru-hara dan kekacauan awam,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Tommy Thomas yang mewakili Daim dan keluarganya berkata SPRM tiada sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Daim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

“Kertas “Pandora Papers” tidak mendedahkan sebarang kesalahan Daim di bawah undang-undang Malaysia. SPRM juga bertindak secara tidak sah apabila mengeluarkan 36 notis di bawah Seksyen 36(1) Akta kepada Daim dan ahli keluarganya supaya mendedahkan maklumat mengenai harta mereka yang berkaitan dengan kesalahan di bawah akta agensi penguatkuasaan itu,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 4 Mac ini bagi keputusan permohonan itu.

Minggu lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, dan keluarganya mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM berkaitan rasuah dan pembekuan aset.

Daim dan keluarga memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Tommy Thomas dengan menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon juga terdiri daripada isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67, dan empat anak mereka iaitu Asnida, 63, Md. Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta Ilham Tower Sdn. Bhd.

Menurut Daim, ‘Pandora Papers’ adalah fail sulit yang tersebar pada tahun 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset, dan akaun bank di luar negara yang di luar bidang kuasa Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata fail tersebut tidak menyatakan sebarang kesalahan dilakukan olehnya dan keluarga.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya ‘tiada sebab munasabah’ untuk menjalankan siasatan yang bermula sejak Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa walaupun pertuduhan bertujuan untuk dimulakan oleh Pendakwa Raya, ia menyalahi perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Ini mengambil kira kelewatan kira-kira 22 tahun (untuk memulakan tuduhan) dan dengan itu melanggar hakasasi “kebebasan peribadi” setiap pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, mereka juga memohon perisytiharan, bahawa notis yang dikeluarkan SPRM adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dengan itu, pemohon memohon perintah certiorari terhadap SPRM dan pegawainya untuk membatalkan semua siasatan yang dimulakan sehingga kini terhadap mereka.

Mereka juga memohon satu perintah larangan bagi Pendakwa Raya untuk mendakwa mereka dan satu perintah Mandamus supaya semua dokumen, fail, kertas, rekod, harta, aset dan wang yang disita atau diperoleh daripada siasatan, dikembalikan dalam tempoh tujuh hari.

Turut dipohon, perintah perisytiharan terhadap notis yang dikeluarkan oleh SPRM pada 7 Jun 2023 menurut Seksyen 44(1) AMLA oleh SPRM tidak lagi berkuat kuasa mulai 5 September 2023.

Terdahulu isteri Daim, Nai’mah mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan dalam bidang perniagaan dan industri diceburi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI