PETALING JAYA – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan beliau telah memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, hari ini berhubung dakwaan ahli perniagaan Albert Tei.
Difahamkan, Azam tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi dan meluangkan hampir dua jam menjawab soalan dikemukakan oleh penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Azam, beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM, namun menafikan semua dakwaan oleh Albert Tei sepanjang proses rakaman terbabit.
“Saya memberitahu polis saya tidak pernah bertemu dengan Albert Tei atau membuat sebarang urusan dengannya. Saya juga memaklumkan saya tidak pernah menghantar mana-mana peguam untuk bertemu dengan mana-mana pihak. Saya juga mengemukakan bukti kepada penyiasat bahawa saya tidak pernah bertemu dengan Albert Tei atau berurusan secara langsung dengannya,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan PDRM dijangka merakam percakapan Azam dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, Albert Tei membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dengan mendakwa beliau diugut melalui peguamnya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE














