KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang bekas Ketua Komunikasi Korporat sebuah kementerian atas pertuduhan memperoleh suapan RM5,268 tiga tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya A.Selvam memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45, telah membayar kompaun yang ditawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan selepas menerima representasi yang dikemukakan.
“Pihak SPRM telah menawarkan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Pada 12 Mei 2026 tertuduh telah menyempurnakan kompaun dan oleh yang demikian pihak pendakwaan memohon supaya pertuduhan utama di bawah Seksyen 17(a) akta SPRM dan pertuduhan alternatif dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh ditarik balik,” kata Selvam.
Semasa prosiding, peguam T.Sivaranjeni yang mewakili tertuduh kemudian mengesahkan anak guamnya telah membayar kompaun tersebut dan memohon mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak,Hakim Suzana melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan.
“Memandangkan tertuduh telah membuat pembayaran kompaun seperti yang ditawarkan pihak MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jadi mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Hakim Suzana.
Mengikut pertuduhan, Nur Fazreen didakwa memperoleh suapan RM5,268 daripada seorang wanita berusia 44 tahun untuk sebahagian bayaran seutas gelang emas seberat 39.30gram.
Bayaran tersebut dibuat secara dalam talian daripada akaun bank milik sebuah syarikat ke akaun sebuah kedai emas.
Suapan itu adalah sebagai upah untuk Nur Fazreen yang mengesahkan Borang Permohonan Pesanan Kerajaan berhubung kerja perkhidmatan sewaan peralatan pameran Trenchless Asia 2023 bernilai RM49,950 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kepada syarikat tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Bukit Bintang, di sini pada 11 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Nur Fazreen turut didakwa atas pertuduhan pilihan pada tarikh dan tempat sama, telah menerima wang RM5,268 daripada tanpa balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














