fbpx

Malaysia tak benar rumah pelacuran, mesti ikut undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi dalam sidang media Ujian Kualiti Perkhidmatan (Panggilan Suara), di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – “Apa-apa pun kena ikut undang-undang, Malaysia tidak benarkan rumah pelacuran”.

Itulah komen Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil apabila ditanya berkenaan pandangan peribadi yang dilontarkan pelakon senior, Datuk Rosyam Nor berkenaan rumah pelacuran.

Ahmad Fahmi berkata, dia bersetuju dengan jawapan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mengecam cadangan Rosyam Nor itu.

Ujarnya, apa-apa cadangan atau pandangan perlu dilontar dengan berlandaskan undang-undang yang sudah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya setuju dengan jawapan serta pandangan Menteri Hal Ehwal Agama. Jawapan beliau beri kita ruang untuk muhasabah diri.

“Undang-undang tidak membenarkan, mungkin ada kekhilafan dalam pandangan dari pihak Rosyam Nor sendiri.

“Apa-apa pun kita kena ikut undang-undang. Undang-undang kita gariskan, dekat Malaysia tidak dibenarkan rumah pelacuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Ujian Kualiti Perkhidmatan (Panggilan Suara), di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berpendapat kewujudan rumah pelacuran di negara ini dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.

Justeru, pandangan yang diutarakan menerusi siri podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok mendapat kecaman hebat daripada warga media sosial termasuk Mohd. Na’im.

Beliau berkata cadangan tersebut tidak boleh diterima sama sekali dan wajar ditolak oleh semua pihak.

Tegas Mohd. Na’im, dalam mencari penyelesaian, kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan lain dan jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil serta syariah malah melanggar prinsip ajaran Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI