PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah termasuk Labuan hingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung dan Perak Tengah).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin), Selangor (Hulu Langat) serta seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Mukah, Kapit (Song), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau (Tawau) dan Sandakan (Tongod dan Telupid).
Dalam pada itu, cuaca buruk itu turut dijangka berlaku di seluruh Labuan. – KOSMO! ONLINE














