fbpx

Hantar anak ke Pasti sebab kualiti pembelajaran, bukan kedekut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kebanyakan ibu bapa memilih menghantar anak-anak mereka ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) disebabkan kualiti pembelajaran dan pengajaran (PdP) di tadika tersebut yang memberi impak positif terhadap perkembangan ilmu kanak-kanak.

Seorang guru, Mohd. Fadli Salleh berkongsi pandangan beliau mengenai kelebihan menghantar anak-anak ke Pasti.

Katanya, Pasti menjadi pilihan utama ibu bapa bukan semata-mata kerana yurannya murah, namun mempunyai kualiti silibus yang baik.

Beliau menambah, sebahagian besar ibu bapa daripada golongan T20 juga memilih menghantar anak-anak ke Pasti meskipun mereka mampu berbelanja lebih untuk persekolahan di tadika swasta yang lain.

“Selain kualiti silibus yang diajar di Pasti, barisan pendidik di sana juga berdedikasi selian penerapan ilmu Islam yang kuat untuk anak-anak.

“Saya ayah kepada lima anak. Empat anak-anak saya semua masuk Pasti seawal usia empat tahun, yang bongsu pun insya-Allah akan daftar di Pasti terdekat juga.

“Pasti memang pilihan teratas dalam list (senarai) pra sekolah untuk anak-anak saya,” kongsinya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd. Fadli turut menyarankan kepada pihak berwajib agar menyemak semula keperluan kenaikan elaun guru-guru Pasti.

Tambah beliau, ramai dalam kalangan guru Pasti mengeluh dengan kadar bayaran elaun yang rendah diterima mereka sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

“Tanpa niat untuk memperlekehkan pihak pengurusan Pasti dan jawatankuasa yang terlibat, saya rasa sangat perlu elaun guru-guru Pasti diteliti dengan cermat dan cuba cari jalan untuk naikkan gaji para guru Pasti yang saya sangat hormati sekalian.

“Mungkin wajar kenaikan yuran yang tak membebankan sesuai dengan kos sara hidup semasa. Jika yuran Pasti dinaikkan sekitar RM10 hingga RM20 lagi, rasanya tak membebankan sangat para ibu bapa.

“Jika pun pengurusan Pasti tetap tak mahu naikkan yuran, cuba cari jalan lain agar elaun guru-guru dapat dinaikkan sedikit. Sekurang-kurangnya naik RM50 pun pasti menggembirakan guru-guru,” cadangnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI