SEPANG- Seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan iaitu cubaan membunuh, merogol dan melakukan perbuatan luar tabie terhadap juruterbang wanita pada 9 April lalu.
Tertuduh, Mohammad Adam Che Aziz, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-ketiga pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didapati melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa di sebuah apartmen di Bandar Sunsuria, di sini kira-kira pukul 11 pagi, 9 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa merogol mangsa di lokasi dan tarikh sama dan jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 376(1) KK.
Mohammad Adam turut melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa sama pada tarikh dan di lokasi sama. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C KK.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain memohon mahkamah tidak memberikan jaminan ke atas tertuduh.
Hakim Ahmad Fuad kemudian menetapkan tarikh 19 Mei ini untuk sebutan semula kes selain serahan laporan perubatan dan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah akibat diserang seorang lelaki tidak dikenali.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun diserang dengan senjata tajam di sebuah unit penginapan jangka pendek di sebuah apartment di sini. – KOSMO! ONLINE














