ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah bertegas dalam pelaksanaan undang-undang syariah ke atas individu yang meninggalkan solat Jumaat di negeri ini.
Ia bukan semata-mata untuk menghukum sebaliknya bertujuan mendidik serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam mengenai kepentingan ibadah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat berkata, mana-mana individu Islam yang gagal menunaikan solat Jumaat tanpa uzur syarie itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014.
Katanya, peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana lelaki beragama Islam yang meninggalkan solat Jumaat, khususnya jika dilakukan berulang kali seperti tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang dibenarkan syarak boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
“Pendekatan penguatkuasaan yang diambil lazimnya memberi tumpuan kepada kes berulang, selaras dengan usaha mendidik dan membimbing masyarakat agar mematuhi tuntutan agama,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut beliau, Seksyen 13 enakmen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesalahan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














