fbpx
Muhammad Zaqkhwan bergambar bersama tujuh anak termasuk lima anak tiri yang merupakan OKU autistik.

‘Dulu jaga anak autistik, sekarang mereka jaga saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki melakukan pengorbanan luar biasa apabila mengambil keputusan mengakhiri zaman bujang dengan ibu tunggal anak lima yang kesemuanya merupakan orang kurang upaya (OKU) autistik.

Tanggungjawab membesarkan anak-anak istimewa yang masih kecil bukannya mudah, namun Muhammad Zaqkhwan Zawawi, 41, membuktikan bahawa kasih sayang dan ilmu yang betul membolehkan lima anak tirinya yang kini berusia 14 hingga 22 tahun mampu hidup berdikari.

Graduan astrofizik dari Universiti Manchester itu berkata, dia bertemu dengan isterinya, Afifah Azizan pada 2014 sewaktu berusia 28 tahun.

“Sewaktu kami berjumpa, anak-anak ini baru sahaja kematian bapa akibat strok. Saya lihat keadaan mereka sangat susah, jadi saya ambil tanggungjawab untuk membesarkan mereka.

“Ketika itu mereka masih kecil, ada yang masih pakai lampin, minum susu. Ada yang makan batu, span dan kaca, malah ada yang mencederakan diri sendiri.

“Saya sedar saya tidak mampu menghantar mereka ke pusat terapi kerana kosnya mahal, jadi saya mesti melakukan sesuatu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, antara perkara pertama yang dilakukannya adalah dengan membaca jurnal dan melakukan kajian berkaitan penyakit autisme setiap hari memandang­kan dia tidak mempunyai ilmu tersebut sebelum boleh mempraktikkannya kepada anak-anak tirinya.

“Walaupun tiada ilmu tentang autisme, namun saya menggunakan kepakaran penyelidikan untuk mencari formula terbaik buat anak-anak,” katanya.

Muhammad Zaqkhwan melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anaknya sewaktu mereka kecil.

Berkat kesabaran dan ilmu yang betul, usaha bapa tujuh anak selama 12 tahun itu ak­hirnya membuahkan hasil apabila mereka kini boleh me­nguruskan diri sendiri.

Lebih manis, Muhammad Zaqkhwan membuka sebuah pusat terapi di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur untuk mereka yang didiagnosis penyakit sama dan menjadi fasilitator di pusat berkenaan.

“Jika dahulu, anak-anak tersebut disifatkan ‘tegar’, kini mereka berubah menjadi tulang belakang keluarga yang paling dipercayai.

“Sekarang saya tidak perlu lagi menguruskan rumah tangga seorang diri kerana mereka mahir melakukan pelbagai kerja tanpa perlu disuruh,” katanya.

Biarpun anak-anak tirinya kian meningkat dewasa, Muhammad Zaqkhwan mengakui dia kini tidak boleh hidup tanpa mereka.

“Sekarang mereka pula yang menjaga saya. Kalau pulang ke rumah dalam keadaan penat dan terbaring di sofa, mereka akan datang urut kaki dan bahu.

“Saya tidak pernah minta di­belai tetapi mereka ini berjiwa besar dan tahu saya sedang letih dan perlu dibantu,” katanya.

Tambahnya, ujian membesarkan anak-anak autistik sebenar­nya bukan dengan hanya bersabar tetapi perlu berusaha mencari ilmu yang betul demi kebaikan dan kesejahteraan golongan tersebut.

Muhammad Zaqkhwan berharap kisahnya menjadi inspirasi buat golongan autistik di Malaysia, membuktikan bahawa kasih sayang tanpa syarat mampu mengubah masa depan ‘anak syur­ga’ menjadi lebih bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN