fbpx

Terpalit isu KWSP, Shuib buka restoran patin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB (kanan) menyaksikan Ab. Rauf (dua dari kanan) dan Wan Rosdy (dua dari kiri) menandatangani plak Majlis Perasmian Restoran House Of Patin di Jalan Kampung Hulu, Melaka, semalam.

MELAKA – Meskipun terpalit dengan isu lewat membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kakitangannya, pelawak Shuib terus meluaskan empayar perniagaan dengan membuka restoran House Of Patin di Jalan Kampung Hulu, di sini.

Menurut pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad, 40, itu, restoran tersebut merupakan perniagaan bersama dua lagi rakan kongsi Max Koh dan Ahmad Daniar, yang merupakan pengasas House Of Patin-Restoran Lipis di Kuala Lumpur.

Katanya, perancangan dan perbincangan untuk membuka restoran berkenaan telah dilakukan sejak tahun lalu apabila Daniar meluahkan hasrat untuk menambah cawangan di negeri lain.

“Saya sudah lama kenal Daniar, tekak pun dah lima tahun asyik makan patin tempoyak restorannya jadi memang sentiasa cari peluang untuk bekerjasama.

“Kedai ni memang kita bawa menu asal House Of Patin -Restoran Lipis dengan seleksi ikan jenis biasa sehingga ‘kayangan’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian House Of Patin yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd. Rauf Yusoh dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, semalam.

Ditanya mengenai keyakinannya dalam industri itu selepas berdepan dengan cabaran kewangan sehingga lewat membayar KWSP pekerja pada November lalu, Shuib memberitahu dia mengambil pengajaran daripada kelemahan pengurusan pihaknya.

“Kita belajar daripada apa yang mungkin tidak ‘proper’, ada kesilapan atau terlepas pandang, kita terus bergerak ke depan.

“Saya akan teruskan selagi mana saya rasa buat benda yang betul, dugaan itu biasa dan saya sentiasa ambil pengajaran daripada apa yang berlaku,” katanya.

Restoran House Of Patin menawarkan pelbagai menu ikan serendah RM13 untuk patin goreng sehingga patin buah pada harga RM28 bagi setiap 100 gram.

Rumah makan itu turut menyediakan jenis ikan kelah pada harga RM420 bagi setiap 100 gram, talapia, kerai dan hidangan set bermula RM20 sehingga RM310. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI