MACHANG – Seorang buruh ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja kehilangan pendapatan akibat banjir, malah terpaksa membuang rasa malu untuk meminjam wang bagi rawatan isterinya yang menghidap angin ahmar dan injap jantung tersumbat.
Jasmi Ismail, 45, berkata, dia terpaksa meminjam RM3,000 daripada ibu dan kakak iparnya untuk menjelaskan bil hospital isterinya, Noor Fazraida Ramli, 39.
Katanya, dia kehilangan pendapatan sejak dua bulan lalu apabila kawasan kediamannya di Kampung Galang di sini dilanda banjir.
“Sebahagian wang itu digunakan untuk perubatan isteri dan membeli barangan keperluannya kerana simpanan saya sudah habis kesemuanya kerana tiada kerja bertukang pada musim banjir.
“Saya terpaksa pinjam wang daripada ahli keluarga sendiri terutamanya ketika isteri menerima rawatan injap jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian bulan lalu,” katanya.
Terdahulu, Jasmi dan keluarganya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini selepas rumah mereka di Kampung Galang terjejas banjir pada 25 Disember lalu.
Menurut Jasmi, bayaran sewa dan bil elektrik juga tertunggak sejak dia tidak bekerja.
Tambahnya, ketika ini dia buntu memikirkan cara untuk mencari wang RM2,000 untuk membiayai pembedahan injap jantung isterinya pada 10 Januari ini.
“Kos sebenar pembedahan hampir RM5,000 tetapi hospital tanggung RM3,000 selepas saya membuat permohonan.
“Jadi, saya perlu mencari lagi RM2,000. Jika wang tidak mencukupi, pembedahan dan rawatan isteri saya terpaksa ditangguh,” ujarnya.
Ujar Jasmi, dia sudah malu dan tebal muka untuk meminjam wang daripada ahli keluarganya kerana mereka sebelum ini sudah banyak membantu.
Menurutnya, buat masa ini, dia sudah memaklumkan kepada pihak hospital untuk meneruskan pembedahan isterinya meskipun masih belum mempunyai wang cukup.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Jasmi menerusi talian 017-908 5852 atau terus ke akaun Bank Islam atas nama Jasmi Ismail, 03045022128751.














