fbpx

Sepatu material kitar semula sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Memakai kasut kulit flat signatur ini ibarat tidak memakai apa-apa kerana cirinya yang ringan dan tapak yang selesa.

APABILA memilih untuk mengasaskan satu perniagaan kasut sendiri, Benny Chee tahu dia mahu menghasilkan produk yang bukan sahaja selesa, tetapi juga haruslah mementingkan kelestarian alam.

Bagi Chee, lambakan sisa buangan seperti plastik di laut dan tapak pembuangan sampah merupakan satu isu yang serius dan jika dibiarkan, ia boleh memberi impak yang buruk terhadap alam sekitar.

Memandangkan sisa buangan boleh dikitar semula bagi menghasilkan produk baharu, kongsi Chee, hal tersebut telah mendorongnya untuk memulakan jenama kasutnya sendiri, Anothersole yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan bahan kitar semula.

Chee ketika melancarkan kasutnya di ibu kota pada awal bulan ini berkata, label yang diasaskannya pada 2016 itu adalah cukup unik kerana ia melangkau aspek inovasi dalam penghasilan sesebuah produk.

“Ciri unik yang ditawarkan pada seleksi kasut dihasilkan adalah dedikasi jenama ini untuk menyatukan gaya dan juga kelestarian.

“Sebagai contoh, rangkaian produk kami dihasilkan menggunakan kulit yang diperoleh daripada kilang kulit kitar semula yang diiktiraf, selain menggunakan bahan polietilena tetrafit (rPET) yang dikitar dan digunakan semula,” katanya.

Biarpun dihasilkan daripada barangan yang dikitar semula, Chee berkata, rekaan kasutnya yang ringkas dan minimalis beraura mewah.

Lebih menarik lagi, aspek keselesaan yang menjadi keutamaan Chee telah menjadikan Anothersole jenama kasut dengan hanya satu rekaan iaitu flat atau tapak rata.

Jelas Chee, setakat ini, dia hanya mengeluarkan kasut jenis flat dan tidak berminat untuk mengeluarkan kasut tumit tinggi, stilettos mahupun kasut but paras buku lali.

SELAIN kasut tapak rata, selipar juga dikeluarkan dengan rekaan sama.

Hal ini kerana dia berhasrat menjadikan produknya sebagai kasut yang cukup selesa dan akan sentiasa diulang pakai sebagai kasut harian untuk pelbagai acara.

“Bagi saya, kasut sama yang dipakai secara berulang kali itu sebenarnya merupakan cara terbaik untuk menyokong fesyen yang mampan,” katanya.

Produk signatur Anothersole iaitu kasut kulit flat bertali Anytime sehingga kini sudahpun dihasilkan dalam lebih 100 warna.

Reka bentuk minimalis dengan tapak yang selesa menjadikan seleksi kasut bertapak rata Anytime sesuai digayakan dengan pelbagai jenis busana.

Ujar Chee lagi, kasut itu juga cukup mudah dijaga dengan menggunakan semburan khusus buat barangan kulit yang bertindak sebagai lapisan pelindung.

“Sebelum memakai kasut kulit, sembur dahulu lapisan luar dengan menggunakan cecair semburan khusus.

“Ia berfungsi sebagai lapisan perlindungan buat kasut kulit bagi menjadikannya tidak cepat rosak dan juga mudah dibersihkan,” katanya.

Chee secara peribadi amat menyukai rekaan Paloma yang merupakan kasut satu tona warna.

Baginya, selain nampak klasik dan elegan dengan hanya penggunaan satu warna yang sama pada setiap bahagian kasut, ia juga cukup selesa.

“Ramai yang mengatakan bahawa apabila mereka memakai kasut ini, mereka bagaikan tidak memakai apa-apa kerana cirinya yang ringan dengan tapak selesa yang langsung tidak membebankan kaki,” katanya.

Selain kasut, Anothersole turut menawarkan koleksi beg ANEW yang dihasilkan daripada material kitar semula dan selamat untuk dibasuh di dalam mesin basuh.

Koleksi kasut dan begnya boleh didapati di Seibu, The Exchange TRX dan laman web jenama itu pada harga antara RM299 hingga RM499.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI