MENAMPILKAN gaya gabungan klasik dan Skandinavia menjadikan kediaman jenis teres setingkat berkeluasan 1,400 kaki persegi itu kelihatan menawan.
Sebagai pemilik, pasangan Nurul Nabilah Che Meh dan Mohamad Azray Abu Bakar dari Sungai Buloh, Selangor menampilkan pesona dekorasi tersendiri dengan pemilihan kabinet dapur berwarna gelap dipadankan bersama pemegang rona emas menyerlahkan elemen gold modern luxury kepada ruang.
Menurut Nabilah, susun atur dapur memanjang diilhamkan daripada konsep Skandinavia yang amat menitikberatkan gaya minimalis dan kekemasan agar setiap ruang lebih teratur serta praktikal untuk kegunaan harian.
“Di dapur, kami memilih kabinet berwarna gelap dengan handle (pemegang) warna keemasan untuk memberikan rasa moden klasik mewah.
“Susun atur dapur pun jenis memanjang dengan kabinet satu sisi menyerlahkan tarikan untuk nampak minimal dan kemas,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Demi memberikan suasana baharu, pasangan itu nekad menukar lantai dapur yang sebelumnya menggunakan jenis SPC (Stone Plastic Composite) bercorak kayu kepada lantai pelekat.
“Asalnya lantai jenis SPC, kemudian kami tukar kepada lantai pelekat bercorak vintaj yang sebenarnya telah memberikan satu karakter baharu di dapur selain kelihatan unik dan tidak terlalu kosong.
“Kami memilih gaya begini kerana ingin dapur nampak ‘timeless’ dengan menggabungkan elemen moden dan klasik.
“Kami suka pada kontras warnanya yang kuat tetapi harmoni bahkan ruang pun nampak lebih luas dan kemas,” ujarnya.

Sebagai ruangan yang sering menjadi tumpuan, Nabilah sangat fokus memastikan kekemasan ruang dapur dan ruang tamu terjamin kerana ia antara cerminan keperibadian pemilik rumah.
Disebabkan itu, bahagian dapur dan ruang tamu tidak hanya dihiasi dengan rona perabot bersesuaian tetapi turut dilengkapi elemen pencahayaan dan tumbuhan hijau.
Kedua-dua ruangan itu memainkan peranan penting agar ruang bukan sahaja kelihatan lebih ‘hidup’ tetapi dapat menonjolkan nilai estetik dan ketenangan di dalam rumah.
“Cabaran utama untuk menghias kediaman ini ialah untuk memastikan gaya warna dan mood rumah masih nampak seiring walaupun setiap ruang ada fungsi tersendiri.
“Bagi kami, pemilihan konsep dan perabot bermula dengan dapur kerana jenis rumah memanjang dan terbuka membuatkan tetamu akan memberi tumpuan kepada dapur terlebih dahulu.
“Disebabkan itu, kami perlu memastikan setiap elemen atau perabot yang mahu ditambah mestilah berpadanan dengan konsep supaya tidak nampak serabut.
“Pilihan warna putih adalah untuk mengekalkan elemen semula jadi, manakala kelabu, biru dan beige untuk dekorasi,” kata Nabilah.

Sementara itu, warna senada dipilih untuk padanan langsir, karpet, lukisan dinding dan bantal sofa. Lampu hiasan jenis track light juga digunakan untuk ruang tamu dan dapur.
Dalam pada itu, Nabilah dan suami turut mempunyai tiga ekor kucing peliharaan yang bebas bergerak di dalam rumah. Justeru, bagi memastikan kediaman sentiasa bersih dan terjaga, rutin pembersihan dilakukan secara konsisten.
“Kebiasaannya kami akan memvakum rumah sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu. Sekarang lebih mudah sebab ada robot vakum yang akan membersihkan rumah walaupun kami keluar atau bekerja.
“Lantai perlu selalu mop dan paling penting bekas pasir kucing dibersihkan setiap malam sebelum tidur untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.
“Kami juga menggunakan kain jenis microfiber dan roller pelekat bulu untuk digunakan bagi membersihkan perabot,” ujar Nabilah.
Nabilah mengakui material tahan calar menjadi keutamaan khususnya bagi sofa kerana ingin mengelakkan kerosakan akibat haiwan peliharaan.
Katanya, karpet yang dipilih daripada jenis mudah dicuci dan divakum juga memainkan peranan untuk mengekalkan kebersihan.
“Sebagai ‘cat’s parents’ macam kami, semestinya akan ada bulu-bulu yang jatuh di lantai dan melekat pada perabot. Jadi, kebersihan rumah amat penting bukan sahaja untuk penghuni tetapi keselesaan haiwan peliharaan,” katanya.














