fbpx

Percampuran bahan buangan toksik berisiko cetus kebakaran, letupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JAS melakukan kerja-kerja inventori buangan di premis kitar semula yang terbakar dalam kejadian di Bukit Selambau, Ahad lalu.

ALOR SETAR – Premis kitar semula di Bukit Selambau di sini yang terbakar dan beroperasi tanpa kelulusan didapati tidak mengikut spesifikasi penstoran bahan buangan toksik berbahaya ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, percampuran bahan buangan yang tidak terurus dan tidak serasi berpotensi menyebabkan bahan-bahan bertindak balas, meletup atau boleh mengakibatkan kebakaran.

“Bagi premis-premis yang berlesen dengan JAS, premis diwajibkan menggunakan khidmat orang berwibawa atau competent person bagi mengawasi operasi premis.

“Premis-premis berlesen juga tertakluk kepada keperluan empat kali pemeriksaan wajib setahun oleh JAS selain perlu mengemukakan Laporan audit alam sekitar oleh pihak ketiga sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, premis juga tertakluk kepada keperluan memperbaharui lesen setiap tahun dengan lesen boleh digantung atau tidak diperbaharui sekiranya gagal mencapai tahap pematuhan yang memuaskan.

Menurutnya, semua pengeluar buangan adalah dinasihatkan untuk memastikan buangan terjadual hanya dihantar ke premis berlesen dan mengaudit premis-premis yang mengambil buangan.

“Ia bagi memastikan semua buangan yang diambil sampai ke destinasi dan diproses atau dilupuskan mengikut kaedah yang dibenarkan oleh JAS,” ujarnya.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya meneruskan kerja-kerja inventori buangan yang terdapat di premis terlibat secara menyeluruh selepas Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri selesai menjalankan siasatan punca kebakaran.

“Secara umumnya premis-premis ini menempatkan pelbagai buangan seperti sekerap logam, buangan elektrik dan elektronik, bateri lithium, transformer dan asid terpakai, persampelan tambahan akan turut dijalankan jika perlu,” jelasnya.

Ujarnya, keadaan dalam premis masih lagi tercemar dan peralatan perlindungan diri (PPE) adalah masih perlu bagi mengelakkan kakitangan terhidu gas-gas toksik.

“Kerja-kerja juga perlu dilakukan dengan berhati-hati dan perlu dihentikan sekiranya hujan kerana terdapat bahan-bahan seperti bateri lithium yang masih boleh bertindak balas dan meletup sekiranya terkena air,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI