KUALA TERENGGANU – Orang ramai di Terengganu digesa agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kebakaran lebih besar seperti yang sedang berlaku di Hutan Paya Gambut Kuala Abang, Dungun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, kebakaran hutan dan belukar semakin menjadi-jadi di negeri ini sejak akhir-akhir ini berikutan cuaca panas dan kering.
“Setakat ini, sebanyak 1,420 kes kebakaran terbuka telah direkodkan berlaku di seluruh Terengganu sejak awal tahun ini.
“Sebanyak 1,121 kes kebakaran melibatkan kebakaran belukar dan lalang, hutan (139 kes), kebun (16 kes) dan lain-lain (144 kes),” katanya di sini semalam.
Nor Mahathir berkata, kes kebakaran tertinggi dilaporkan di daerah Kuala Nerus dengan 252 kes, diiikuti Kemaman (236 kes), Dungun (205 kes); Marang (204 kes), Besut (179 kes), Kuala Terengganu (168 kes), Setiu (144 kes) dan Hulu Terengganu (32 kes).
Beliau berkata, JBPM Terengganu telah mengambil inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kemarau ini.
“Ia termasuk membuat hebahan dan peringatan di masjid dan surau seluruh negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














