JASIN – Sebuah pasar raya yang menjadi tumpuan penduduk di Merlimau di sini, musnah kira-kira 60 peratus dalam kebakaran lewat malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.04 malam.
“Seramai 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dengan bantuan BBP Jasin Bestari bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah pasar raya yang musnah kira-kira 60 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 61 meter dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan api berjaya dikawal pada pukul 12.44 tengah malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pukul 2.46 pagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














