DUNGUN – Seramai kira-kira 1,000 penduduk Kampung Baru Kuala Abang di sini keresahan terhadap ancaman asap tebal berikutan kebakaran kira-kira 32 hektar hutan gambut sejak Khamis lalu.
Rata-rata mereka menutup tingkap dan pintu rumah sepanjang masa bagi mengelak asap tebal.
Sebahagian pula terutama keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara-mara di luar perkampungan tersebut bagi mengelak ancaman penyakit disebabkan asap tebal.
Seorang penduduk, Mohamad Khairul Safwan Ahmad Zainuddin,29, berkata, kebanyakan penduduk yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan jantung telah berpindah sementara bagi mengelak risiko kesihatan.
“Kami sukar bernafas dan mata juga pedih terkena asap tebal kebakaran hutan.
“Rutin harian kami terjejas teruk sejak kebakaran hutan pada kelmarin. Harap ia cepat dipadamkan,” ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Abang di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














