fbpx

Bangkit selepas lihat keringat ibu cuci lantai kantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ECAH mengusahakan bisnes berasaskan kecantikan, makanan dan pakaian.

TIDAK dinafikan, kejayaan seseorang dalam apa jua bidang yang diceburi bukan mudah untuk dikecapi.

Sebaliknya, ia terselit pelbagai liku dan kisah duka yang perlu diharungi mereka.

Begitu juga dengan kisah Aziemah Azmi yang pernah bersusah payah berniaga demi membahagiakan ibunya, walaupun menerima banyak cemuhan daripada orang sekeliling kerana kesusahan keluarga.

Sebelum berjaya dan merasai kemewahan seperti sekarang, Aziemah mula berniaga pada 2016 dengan menerima komisen sekitar RM5 melalui jualan produk kecantikan dan makanan.

Lebih menyedihkan, wanita yang mesra disapa Ecah itu perlu berniaga dengan menunggang motosikal Honda EX5 bagi membuat penghantaran selepas mendapat pesanan daripada pelanggan.

“Sebelum ini, emak kerja di kantin sekolah masa saya masih bersekolah menengah.

“Setiap kali tengok emak yang sudah tua mencuci lantai sampai menitis peluh membuatkan saya rasa tersentap dan sangat sedih.

“Mula dari situ, saya terus nekad untuk ubah nasib keluarga dengan melakukan kerja termasuk berniaga tanpa modal,” ujarnya berkongsi bicara bersama Aura.

Anak jati Kuala Ketil, Kedah itu memberitahu, dia bukanlah seorang pelajar yang pintar ketika bersekolah, namun hasrat untuk mengubah nasib keluarga tetap menjadi keutamaan.

Meneruskan kisah, selepas tamat sekolah, dia pernah memasang impian untuk menjual produk kecantikan iaitu serum di bawah labelnya sendiri.

Bagaimanapun, ia mendapat kritikan hebat daripada sahabat baiknya.

“Masa itu saya hendak keluarkan serum sendiri, namun kawan baik cemuh dan hina sampai saya rasa terkilan.

“Dia kata, sejak saya berniaga secara kecil-kecilan, satu benda pun tidak nampak hasil dan berjaya. Kedai tiada, kereta apatah lagi.

“Mengalir air mata saya sebab kawan baik sendiri cakap sebegitu sedangkan dia tidak tahu jumlah simpanan atau apa yang saya ada ketika itu,” ujarnya.

Ecah bergambar di depan kedainya di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah.

Tidak hanya itu, pernah juga dia diperli saudara terdekatnya ketika mahu meminjam kereta untuk urusan kerja di luar daerah.

“Ada yang cakap: “Nanti selepas pinjam, hantar balik kereta, jangan sampai kering minyak pula. Isi semula bagi penuh.”

“Ada yang perli cakap hidup kami sekeluarga tidak akan senang sampai bila-bila,” tutur Ecah tatkala mengimbas kembali kata-kata nista dan sindiran yang diterima.

Mengambil semua yang negatif sebagai pembakar semangat untuk terus maju, dia mula membina legasi perniagaan.

Kini, dia boleh tersenyum apabila berjaya mengusahakan produk kecantikan, makanan dan pakaian.

Lebih membanggakan, sepanjang berniaga, dia tidak pernah meminta apatah lagi membuat pinjaman pembiayaan daripada mana-mana agensi atau bank.

“Semua yang saya lakukan ini melalui banyak proses dan mengambil masa lima tahun untuk sampai di tahap sekarang.

“Sepanjang berniaga, saya tidak pernah berhenti buat live di Facebook dan TikTok, iklankan di status WhatsApp, InstaStory dan semua saluran media sosial.

“Kalau saya sendiri tidak iklankan, tiada siapa akan tolong promosikan.

“Kita bukan artis dan orang dikenali,” katanya.

Berkat usaha yang tidak pernah kenal penat lelah, dia berjaya menghadiahkan sebuah kereta baharu dan barang kemas kepada ibunya.

Pada masa sama, wanita berusia 29 tahun itu berjaya memiliki kereta, premis dan membeli rumah hasil usaha selama lima tahun berniaga.

Kata Ecah, dia bukan mahu menagih simpati dengan berkongsi cerita silamnya.

Sebaliknya, dia ingin berkongsi kisah inspirasi kepada individu di luar sana untuk tidak terburu-buru mengejar impian.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI