MADINAH – Kesabaran dan ketabahan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan menjaga ibunya yang uzur berbalas apabila menerima panggilan menunaikan ibadah haji tahun ini.
Peluang menjadi tetamu Allah itu disifatkan sebagai rezeki paling bermakna buat Siti Hadijah Abu Bakar, 50, selepas sekian lama memikul tanggungjawab menjaga ibu dengan penuh kasih sayang.
Menurut Siti Hadijah, dia tidak pernah menyangka diberi peluang menunaikan haji meskipun mempunyai kekurangan, namun menganggapnya segala ketentuan dan mempunyai hikmah tersendiri.
Wanita yang mesra dipanggil Kak Jah tidak menolak peluang menunaikan Rukun Islam kelima itu sebagai ‘rezeki’ menjaga ibunya yang turut mempunyai masalah penglihatan.
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai anak yang berbakti kepada emak sampai akhir hayat. Saya tidak mahu apa-apa balasan kerana membantu emak, biarlah Allah yang membalasnya,” katanya ketika ditemui.
Siti Hadijah merupakan antara 31,600 jemaah Malaysia yang terpilih mengerjakan haji bagi musim 1447 hijrah.
Siti Hadijah berkata, dia dan lima adik-beradiknya yang lain mengalami masalah penglihatan, namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Sekarang saya jaga mak, dalam masa sama menguruskan lima anak. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya yang mempunyai lapan beradik.,” katanya.
Wanita itu percaya setiap ketentuan Allah hadir bersama jalan penyelesaian, termasuk mengurniakan insan yang sanggup membantunya sepanjang perjalanan ibadah tersebut.
“Allah mengutuskan seseorang yang berhati besar dan setia membantu saya, tanpa pertolongan beliau mungkin saya tidak sampai ke sini (Tanah Suci),” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji atas layanan baik. – KOSMO! ONLINE














